Thursday, December 24, 2009

Seekor tikus RM1 di Shah Alam

myMetro:


SHAH ALAM: Seekor tikus dibayar RM1. Itu inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kepada penduduk yang menangkap tikus sempena kempen 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan kitar semula.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata buat permulaan inisiatif dalam bentuk wang tunai itu akan diberikan kepada penduduk di Pangsapuri Seksyen 16 di sini, sempena operasi besar-besaran di kawasan itu pada 26 Disember ini.

Menurutnya, ia satu kempen bagi mendidik dan mendedahkan warga Shah Alam menjaga kebersihan persekitaran agar bebas daripada ancaman tikus serta tempat pembiakan aedes.

“Selain operasi menangkap tikus, MBSA juga akan mengadakan beberapa aktiviti pembersihan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ini.

“Ini kerana kami menerima banyak rungutan dan aduan daripada penduduk setempat, jadi sebagai inisiatif pihak majlis segera bertindak pantas bagi menjamin keselesaan penduduk di situ,” katanya di sini semalam.

Shahrin berkata, selain itu, MBSA juga akan mengadakan aktiviti pembersihan sampah pukal seperti perabot lama, almari, kerusi dan juga sampah kebun seperti dahan kayu dan sebagainya.

“Harapan kami melalui program ini ia dapat mendidik masyarakat supaya sentiasa peka dan mengambil berat berhubung tahap kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

“Usaha ini perlu dibuat berterusan bagi mengawal wabak demam denggi daripada merebak serta ancaman tikus daripada berleluasa serta memerlukan penyertaan menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.



Cepat2 cari duit..

No comments:

Post a Comment